AdSense

Friday, January 15, 2016

Terharu bila baca liku-liku kehidupan generasi pertama FELDA


'Bilut' antara filem sebenar yang diadaptasikan daripada kehidupan masyarakat Felda yang pertama di Malaysia iaitu Felda Lurah Bilut, Pahang. Pastinya penonton dapat merasai penyampaian yang terdapat di dalam filem tersebut. Namun ia bertambah menyentuh perasaan apabila kisah-kisah sebenar ini disampaikan secara terus oleh mereka dikalangan peneroka Felda generasi terawal.


Sebelum itu, marilah kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah kepada pengasas dan insan yang membangunkan Felda, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang sudah 40 tahun pergi menemui Pencipta-Nya.

Al-Fatihah.



Pembaca, peneroka Felda merupakan antara masyarakat terbesar dikalangan rakyat Malaysia secara keseluruhannya yang terkesan dengan pemergian Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein - pengasas Felda yang juga merupakan Perdana Menteri Malaysia ke 2.

Tun Razak yang juga bapa kepada Perdana Menteri hari ini, Datuk Seri Najib merupakan tonggak utama terhadap pembangunan tanah rancangan Felda sejak ia ditubuhkan, lebih 50 tahun lalu.

Kehidupan peneroka Felda yang cukup sukar suatu ketika dulu tercatat di dalam lipatan sejarah. Kini kehidupan peneroka berubah menjadi bertambah baik.


Pada mula ia ditubuhkan, berduyun-duyun masyarakat kampung di seluruh negara berebut-rebut untuk menyertai tanah rancangan Felda. Ternyata, keputusan yang dibuat oleh para peneroka ketika itu merupakan satu tindakan bijak dan tepat.

Masih ingat, antara syarat kelayakan untuk menyertai Felda ialah, mestilah dikalangan mereka yang sudah berkahwin. Romatisnya bila melihat pasangan yang berkahwin ini sama-sama membanting tulang mengerah keringat semata-mata mahu membesarkan anak-anak.

Romantis itu dapat diperkatakan pada saat ini, kerana berpuluh-puluh tahun lampau kita hanya dapat melihat keperitan dalam kesungguhan setiap pasangan yang menyertai Felda.


Mereka yang putih melepak, berubah menjadi gelap. Mereka yang anggun jelita dipenuhi pula dengan kesan-kesan gigitan serangga berbisa. Haiwan-haiwan buas menjadi sahabat sepermainan mereka. Ia berlaku kepada seluruh peneroka Felda pada awal penubuhannya.

Kawasan kejiranan di Felda meliputi pelbagai negeri dalam Malaysia. Kesukaran memahami loghat negeri masing-masing mengundang sedikit kesukaran ketika berkomunikasi. Ia merupakan antara pengalaman manis yang sukar dilupakan.

Wayang pacak dan aktiviti yang tidak dapat dilupakan. Lukisan oleh Lat

Namun, soal loghat ini bukanlah satu masalah besar. Bahkan tidak memberi kesan kepada generasi kedua Felda yang mula lahir. Ia berubah mengikut lokasi negeri Felda. Jika di Kelantan, loghat Kelantan. Jika di Pahang, loghat Pahang. Begitulah juga Felda di tempat-tempat lain.


Susah senang mereka bersama. Setiap kejiranan Felda umpama sebuah keluarga besar yang saling memerlukan antara satu sama lain. 


Hari ini, masyarakat Felda tidak lagi dipandang jelek oleh masyarakat lain. Bahkan masyarakat Felda digelar sebagai kumpulan 'orang kaya'. Generasi baharu terutamanya generasi kedua dan ketiga Felda pastinya tidak pernah mengalami kepayahan yang dilalui peneroka generasi pertama sebelum dikenali dengan gelaran 'orang kaya'.

Generasi baharu Felda hari ini hanya dapat melihat pembangunan dan kejayaan yang dikecapi Felda hari demi hari. Jika mahu mendengar sendiri liku-liku kehidupan awal peneroka Felda, perlulah bertanyakan kepada mereka dikalangan generasi pertama.

Menceritakan liku-liku kehidupan generasi pertama Felda, seorang peneroka yang berasal dari Kedah, Mustaffa Ismail yang kini berusia 70 tahun melahirkan rasa bersyukur dan penghargaan kepada pengasas Felda, Tun Razak yang giat membangunkan kehidupan masyarakat pada ketika itu.


“Apabila saya mula sampai ke Felda ini 34 tahun lalu, keadaan ladang sawit tidak seberapa, namun saya telah mengusahakannya sehingga kini mendatangkan pulangan yang lumayan. Syukur kerajaan memberikan tanah sawit 10 ekar di sini dan kehidupan keluarga pun lebih stabil dan semakin baik.”

Jangan terkejut, Mustaffa yang kini tinggal di Felda Bukit Sagu 1, Kuantan ini pernah meraih pendapatan bulanan sehingga RM6,000 hasil daripada tanaman kelapa sawitnya.

Bukan setakat berjaya dari segi peningkatan taraf ekonomi, Mustaffa juga mampu mendidik anak-anaknya sehingga berjaya sekalipun semua sedar betapa sukarnya kehidupan peneroka Felda pada mula ia ditubuhkan dahulu.

Bukan calang-calang, kerjaya dua orang anak Mustaffa adalah sebagai peguam! Membuktikan perit sebagai peneroka bukan penghalang kepada kejayaan anak-anaknya.

Menyentuh tentang Felda, masyarakat hari ini pastinya terbayangkan 'perkampungan Melayu'. Ia bukan sekadar kampung, tetapi juga penempatan orang Melayu yang membangun hari demi hari.

Benarlah kata semangat Melayu,

"berakit-rakit ke hulu, berenang renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang senang kemudian."

Masyarakat peneroka yang sudah diajar susah pada suatu ketika dahulu kini mula mengukir senyuman tanda syukur apabila dapat menikmati kesenangan.

Ungkapan ringkas yang sebak ini pula dizahirkan seorang peneroka, Melah Busu yang berusia 56 tahun. Katanya....

“Memang dahulu orang Melayu yang tinggal di kampung susah hendak cari makan. Pendapatan tidak menentu. Mujur kami terpilih menyertai rancangan Felda dan diberi tanah 10 ekar untuk setiap peneroka,”

Lagi pedih apabila mengingatkan kisah para peneroka yang terpaksa hidup di dalam hutan sekitar tahun 1973.

Seorang peneroka Felda Kemahang 1, Tanah Merah, Kelantan, Azhari Ismail, 62 tahun merupakan antara peneroka yang pernah merasai pengalaman bermalam di rumah panjang, minum air telaga dan menggunakan pelita minyak tanah.

Kewujudan Felda ini cukup dihargai peneroka terutamanya mereka dikalangan generasi pertama seperti Lijah Hassan, 57 tahun.

“Kami berterima kasih kepada Felda yang diperkenalkan oleh Allahyarham Tun Razak kerana membantu golongan seperti kami untuk memajukan kehidupan sehinggakan kami dapat menyara tiga daripada lima orang anak kami di universiti.

“Jika tidak kerana bantuan dan dorongan daripada pihak Felda, rasanya kami tidak merasai kesenangan ini, kami hanya tahu tanam pisang, ubi kayu sahaja.”

Syukur... Syukur.... Syukur...

Demikian ungkapan sulung yang keluar daripada mulut kebanyakkan peneroka Felda apabila ditanya mengenai kehidupan di tanah rancangan pada hari ini.


Pengalaman perit peneroka Felda ini sewajarnya menjadi pengajaran dan pembakar semangat buat generasi hari ini. Kesenangan yang dinikmati ketika ini merupakan hasil titik peluh generasi terdahulu.

*Jangan dilupakan mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Pengorbanan mereka dikalangan generasi terawal samada pemimpin ataupun masyarakat itu sendiri terus diingati.

Al Fatihah

No comments:

Post a Comment