AdSense

Monday, April 18, 2016

Perang teksi-Uber : Pengguna beri isyarat


Sejak kebelakangan ini pemandu teksi di seluruh dunia 'menguasai' sisi-sisi dada akhbar dengan penganjuran demonstrasi jalanan dan beberapa insiden pergaduhan.

Di London, pemandu teksi bertindak menyerbu pejabat operasi Uber dan membelasah seorang pemandu aplikasi atas talian itu.


Sebelum itu di Indonesia, satu demonstrasi besar-besaran diadakan di ibukota republik negara itu sekaligus mengakibatkan aktiviti trafik lumpuh buat seketika.

Begitu juga di Malaysia apabila sekumpulan pemandu teksi bertindak mogok di sekitar Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Ketiga-tiga situasi ini hanyalah sebahagian daripada apa yang berlaku membabitkan pemandu teksi di seluruh dunia ketika ini. Tidak lain tidak bukan mereka mahu mendapatkan perhatian orang ramai serta melancarkan 'perang' terhadap perkhidmatan Uber dan seumpamanya.

Dalam masa sama mereka juga seolah-olah memberikan mesej bahawa hanya pemandu teksi sahaja yang layak membawa penumpang walaupun perkhidmatan yang diberikan dikategorikan sebagai 'sampah'.

Suara Lensa secara peribadinya turut tidak menyokong perkhidmatan Uber sepenuhnya 100%. Ini kerana perkhidmatan itu tidak berdaftar secara sah dengan agensi-agensi penguasa Malaysia. Ia sekaligus mengundang risiko-risiko berlakunya jenayah seperti rogol, culik dan sebagainya.


Namun, nampaknya Uber tetap menjadi pilihan masyarakat. Kebanyakkan daripada mereka mengakui risiko tersebut namun mereka sebenarnya tiada pilihan. Perkhidmatan teksi sudah terpalit dengan 'isu turun-temurun' yang tidak nampak sinar perubahan. Jika ada pemandu Uber di luarnegara yang merogol penumpangnya, pemandu teksi juga pernah melakukan jenayah sedemikian tidak lama dahulu bukan?


Bagi pemandu teksi, perkhidmatan Uber tidak sesekali direstui berada atas jalanraya menggantikan mereka untuk mengangkut penumpang - walaupun kualiti yang ditawarkan Uber jauh lebih baik berbanding mereka.

Biarpun penumpang hari ini bertambah tertarik kepada Uber namun para pemandu teksi menjadikan Uber sebagai penabur pasir ke dalam periuk nasi mereka. Kelihatan Uber akan diperangi secara habis-habisan.

Hebat dan dahsyatnya perang yang dicetuskan ini sehingga mereka (pemandu teksi) lupa untuk menjenguk cermin melihat diri sendiri.

Apa dan bagaimana tahap perkhidmatan mereka?

Berpengalaman selama berpuluh-puluh tahun di atas jalanraya sebagai pemandu teksi tidak mampu membuatkan mereka berkualiti daripada yang lain. Jika tidak, mengapa masyarakat semakin menolak perkhidmatan mereka?

Pernah atau tidak pemandu teksi ini mengambil sedikit masa untuk memikirkan perkara sedemikian?

Sahabat blogger RMF7 ada menyiarkan artikel berkaitan tahap perkhidmatan teksi di seluruh dunia. Apa yang paling menyedihkan apabila kajiselidik yang dijalankan dan dikeluarkan oleh laman web London Cabs itu mendapati bahawa perkhidmatan teksi di Malaysia menduduki tempat teratas paling buruk!


Apakah pemandu teksi di Malaysia tidak malu pada kajiselidik yang dikeluarkan itu? Atau kekal dengan pendirian menyalahkan orang lain?

Pemandu teksi ini mungkin juga tidak menyedari bahawa ada dikalangan pemandu Uber ini pada asalnya juga pemandu teksi seperti mereka. Namun mereka terpaksa beralih kepada Uber kerana terkesan dengan kegiatan-kegiatan negatif yang sering diamalkan sejurus sahaja enjin teksi dihidupkan setiap hari.

Sikap biadap, tidak mesra pelanggan, enggan menerima penumpang atas alasan peribadi dan hanya menjadikan meter sebagai perhiasan merupakan antara faktor utama kenapa industri teksi semakin ditolak masyarakat.

Sebelum menuduh orang lain menabur pasir ke dalam periuk nasi kalian, adalah lebih baik bertanyakan sendiri kepada masyarakat itu sendiri?

Pastikan meter diaktifkan serta tidak diubahsuai dan tanya soalan-soalan mudah macam ni :


  • Kenapa teksi semakin tidak mendapat tempat dikalangan masyarakat?
  • Saya biasa guna Jalan A, atau tuan/puan ada jalan lain?
  • Adakah teksi saya selesa dan berbau harum?
  • Adakah penghawa dingin teksi saya sejuk?
  • Adakah saya senyum?
  • Adakah layanan saya cukup mesra?
  • Bagaimana cara pemanduan saya?

Bukannya mengadu domba dengan menyalahkan si polan dan si polan!

Berpijaklah dibumi nyata dan bermuhasabah diri. Suara Lensa percaya bahawa tindakan sebahagian pemandu teksi ini telah mengakibatkan industri teksi dalam negara tercemar. Ada sebahagian lagi pemandu teksi lain yang masih mengamalkan sikap positif serta menjadi duta kecil Malaysia yang baik dimata pelancong. Namun apa boleh buat, kerana nila setitik habis rosak susu sebelanga.

*Menuding jari kepada pihak lain itu memang mudah tetapi jangan pula lupa, 3 jari yang lain sedang terarah pada diri sendiri.


Lagu tuding-menuding

Bangau oh bangau kenapa engkau kurus...
Macam mana aku tak kurus, ikan tak timbul-timbul.

Ikan oh ikan kenapa tak timbul-timbul...
Macam mana aku nak timbul, rumput panjang sangat.

Rumput oh rumput kenapa panjang sangat...
Macam mana aku tak panjang, kerbau tak makan aku.

Kerbau oh kerbau kenapa tak makan rumput...
Macam mana aku nak makan, perut aku sakit.

Perut oh perut kenapa engkau sakit...
Macam mana aku tak sakit, makan nasi mentah.

Nasi oh nasi kenapa engkau mentah...
Macam mana aku tak mentah, kayu api basah.

Kayu oh kayu kenapa engkau basah...
Macam mana aku tak basah, hujan timpa aku.

Hujan oh hujan kenapa timpa kayu...
Macam mana aku tak timpa, katak panggil aku.

Katak oh katak, kenapa engkau panggil hujan...
Macam mana aku tak panggil, ular nak makan aku.

Ular oh ular kenapa nak makan katak...
Macam mana aku tak makan, memang makanan aku!

No comments:

Post a Comment