AdSense

Monday, August 29, 2016

#PengangkutanAwam kita semakin maju #Syukur


Pengangkutan awam, menjadi satu imej dan kebanggaan kepada sesebuah negara. Bukan itu sahaja, pengangkutan awam yang baik juga memberi manfaat kepada rakyat di negara tersebut.


Di Malaysia, pengangkutan awam merupakan antara tajuk utama dalam agenda pembangunan negara. Sehingga kini, aktiviti penambahbaikan ke arah membangun dan memartabatkan industri pengangkutan awam semakin rancak dilaksanakan.

Agensi-agensi dan jabatan kerajaan seperti Kementerian Pengangkutan, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Prasarana antara nama yang cukup sinonim dengan pengangkutan awam di negara ini. Sudah tentu ia juga melibatkan pihak-pihak lain seperti Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, kerajaan negeri dan lain-lain.

Terbaharu, satu projek mega dikenali Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 Ogos 2016 di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor.

Projek dengan kos RM9 bilion itu dipertanggungjawabkan kepada Prasarana dan kerja-kerja pembinaan dijadualkan bermula awal tahun 2017. Projek yang menggunakan teknologi baharu iaitu ‘U-Trough’ itu dijangka siap pada 31 Ogos 2020.

‘U-Trough’ merupakan satu penambahbaikan daripada sistem konvensional yang sedang digunakan di Malaysia. Teknologi itu akan mempercepatkan proses dan masa dari segi pelaksanaan projek.

Sebanyak 26 buah stesen dengan laluan sepanjang 37 kilometer itu bakal memberi manfaat kepada lebih dua juta penduduk di Koridor Barat Greater Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

Lima daripada stesen-stesen LRT3 akan diintegrasikan dengan rangkaian perkhidmatan sedia ada atau yang baharu.

Wujudnya integrasi di tempat-tempat tersebut, LRT3 dijangka mengurangkan kesesakan lalu lintas, meningkatkan mobiliti pekerja dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu sekitar Lembah Klang menjelang tahun 2020 setelah ia siap sepenuhnya dan mula beroperasi.

Selain dilengkapi sistem bas pengantara di kawasan-kawasan berdekatan jajaran LRT3, projek itu juga akan menyediakan kemudahan ‘park and ride’ di 10 stesen. Ia seterusnya berupaya menggalakkan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan awam dan mengurangkan kesesakan lalulintas. Apa yang lebih penting, ia dapat mengurangkan kos orang ramai.

Disamping itu, Najib menegaskan bahawa LRT3 harus mencapai standard pembinaan kelas dunia. Projek yang bakal menyediakan kemudahan kepada penumpang di Klang, Shah Alam dan Petaling Jaya itu juga harus berkualiti kerana keselamatan tidak seharusnya dikompromi.

Tanpa disedari, LRT3 ini menjadi bukti bahawa pengangkutan awam di Malaysia bertambah maju seiring dengan negara-negara membangun lain di dunia.

Sumber

No comments:

Post a Comment