AdSense

Thursday, September 21, 2017

#Bajet2018 - KERAJAAN DENGAR SUARA RAKYAT



Alhamdulillah sebanyak 13,837 idea dan cadangan telah diterima sepanjang kempen crowdsourcing #Bajet2018 yang telah berlangsung selama 15 hari, daripada 4 September hingga 18 September lepas.


Berdasarkan penelitian awal, saya dapati bahawa pekerjaan, kos sara hidup, pendidikan, pencukaian, perniagaan dan kewangan serta pengangkutan dan infrastruktur merupakan topik-topik hangat kali ini sekaligus menunjukkan keutamaan rakyat pada hari ini.

Saya gembira ramai telah mengambil peluang ini untuk berkongsi dengan saya cabaran-cabaran yang dihadapi mereka, selain memberikan cadangan untuk dipertimbangkan dalam pembentukan #Bajet2018.

Antara yang menarik perhatian saya adalah idea Saudara Mohd Saiful Ridzuan yang mencadangkan agar Sungai Klang dibersihkan dan dibangunkan untuk menjadi sebuah pengangkutan jalan air utama yang menghubungkan bandar-bandar di sekitarnya.


Ramai juga yang telah memuji pelaksanaan MRT dan meminta agar kerajaan membangunkan sistem pengangkutan awam yang efisyen di negeri-negeri yang berpopulasi tinggi bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas.

Bagi membantu penduduk kampung dalam meningkatkan pendapatan, Saudara Freddie telah mencadangkan agar diwujudkan satu kerjasama antara pihak TNB dan penduduk kampung untuk memasang panel solar di rumah-rumah kampung.


Saya juga gembira membaca cadangan daripada penduduk-penduduk desa yang mengutarakan hasrat untuk turut terlibat dalam ekonomi digital dan berharap agar peluang untuk mengembangkan perniagaan melalui ekonomi digital tidak terhad kepada penduduk bandar sahaja.

Dalam memastikan peluang ini wujud untuk penduduk desa, saudara Mohamad Zulkhairin Raihan antaranya telah meminta agar kerajaan menaik taraf dan meningkatkan kelajuan capaian internet di kawasan luar bandar.


Saya faham ramai juga yang telah meminta pelepasan cukai bagi membantu menangani kos sara hidup golongan berpendapatan tengah, daripada peningkatan pelepasan cukai untuk aktiviti sukan kepada pelepasan cukai untuk penyelenggaraan kenderaan persendirian.

Untuk makluman semua, sejak GST diperkenalkan pada tahun 2015, kerajaan telah menurunkan kadar cukai pendapatan individu sebanyak 1 hingga 3 mata peratusan yang memanfaatkan 300 ribu orang apabila mereka tidak perlu lagi membayar cukai. Golongan berkeluarga yang berpendapatan RM4,000 sebulan juga tidak lagi mempunyai tanggungan cukai dan kadar cukai maksimum 26 peratus pula dikurangkan kepada 24 peratus, 24.5 peratus dan 25 peratus.

Saya juga banyak mengumumkan pelepasan cukai dalam Bajet 2016, contohnya pelepasan cukai terkumpul sebanyak RM1,500 untuk ibu dan RM1,500 untuk bapa bagi anak-anak yang menyara kedua ibu bapa serta kenaikan had pelepasan cukai daripada RM6,000 kepada RM8,000 bagi setiap anak berumur 18 tahun yang sedang melanjutkan pelajaran.

Selain itu, dalam Pengubahsuaian Bajet 2016 pula, saya telah mengumumkan pelepasan cukai khas sebanyak RM2,000 kepada pembayar cukai individu berpendapatan RM8,000 sebulan ke bawah.

Untuk Bajet 2017 pula, kerajaan telah mengumumkan pelepasan cukai gaya hidup sehingga RM2,500 setiap tahun bagi pembelian antaranya, bahan bacaan, komputer, smartphone, peralatan sukan serta keahlian gimnasium.

Ini hanyalah antara inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam membantu golongan berpendapatan tengah, bagi memastikan nasib mereka terus terbela. Oleh itu, saya yakin #Bajet2018 yang bakal dibentangkan akan terus membantu golongan yang memerlukan, dan pada masa yang sama inklusif serta holistik terhadap keperluan semua.

Insya-Allah, semua cadangan yang telah diterima akan diteliti dan dipertimbangkan dengan serius oleh kerajaan kerana ini adalah satu langkah yang tepat ke arah mendemokrasikan proses pembentukan bajet negara, satu dokumen yang bakal memberi impak yang besar kepada hala tuju negara.

Terima kasih sekali lagi saya ucapkan kepada semua yang telah terlibat!

NajibRazak.com

No comments:

Post a Comment