AdSense

Tuesday, October 17, 2017

Misi media pembangkang jalankan kempen antiNajib


Tajuk sesuatu berita sememangnya memainkan peranan utama dalam mencipta kontroversi. Ditambah pula dengan rencah penulisan berbaur persepsi atau putar belit. Menceduk sesetengah kenyataan penuh sebelum diproses berdasarkan pandangan berkepentingan.


Pada 4 Oktober 2017, portal berita pro pembangkang ada menyiarkan satu artikel yang diambil daripada Bernama. Tapi lidah rasmi pembangkang ini lebih suka menggunakan tajuk yang kontroversi : 'Saya lega tak duduk dalam kabinet lagi' dan 'I'm glad I'm no longer in the Cabinet'

Berbeza dengan tajuk yang digunakan oleh agensi berita Bernama : 'Syed Hamid Albar Mengenang Semula Laluan Politik'.


Inilah gerak kerja yang diamalkan dalam organisasi media pro pembangkang. Mereka akan sedaya upaya memutar belit serta hanya menceduk sebahagian daripada kenyataan penuh.

Mengikut kepada ulasan semula yang disiarkan, portal pembangkang seolah-olah mahu menunjukkan bahawa Syed Hamid tidak sekapal lagi dengan kerajaan pemerintah. Seolah-olah beliau sudah bosan dengan pentadbiran kerajaan sedia ada.

Sedangkan, persaraan Syed Hamid adalah keputusan beliau sendiri. Sudah lama Syed Hamid berkhidmat kepada masyarakat, kini masa untuk beliau berehat dan menghabiskan masa bersama keluarga.


Untuk makluman, Syed Hamid mula menceburi politik sekitar tahun 1990 dan menguasai kerusi di Parlimen Kota Tinggi Johor, Tan Sri Dr Syed Hamid Syed Albar terus menjadi pilihan dan mendapat tempat di hati masyarakat.

Bakti pemegang ijazah undang-undang dari Inns of Court, London (1970) terhadap masyarakat dan negara tidak dapat disangkal. Beliau pernah berkhidmat sebagai majistret, Menteri di Jabatan Menteri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar Negeri, Menteri Dalam Negeri dan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).


Namun, genap tujuh tahun, pemimpin yang berusia 73 tahun ini mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak sebagai Pengerusi SPAD sekaligus mengumumkan persaraan beliau bermula 3 Jun lalu.

Sudah tentu, keputusan ini memberi kesan kepada seluruh kakitangan SPAD. Tambahan pula Syed Hamid merupakan pemimpin pertama yang diamanahkan untuk mengepalai SPAD sejak ia ditubuhkan pada tahun 2010. Kejayaannya membawa pelbagai perubahan khususnya dalam soal pengangkutan awam di Malaysia diakui sendiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malah segala perancangan Transformasi Pengangkutan Awam dan projek-projek SPAD yang diilhamkan Perdana Menteri sebagaimana yang diamanahkan kepadanya berjaya dikemudi dengan baik serta lancar. Terkini, reka bentuk konsep stesen projek keretapi laju (HSR) KL-Singapura baharu saja diperkenalkan.

Stesen ini bakal menjadi hab dan pintu masuk ke bandar-bandar moden dan paling maju di Malaysia. Ini adalah elemen penting dalam memacu Malaysia mencapai aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).


Bagi Perdana Menteri, HSR akan menjadikan negara sebagai destinasi pelaburan pilihan di rantau ini, menyediakan peluang pelaburan dan kepelbagaian yang lebih besar.

Sebenarnya, Syed Hamid hanyalah mahu bersara, bukan kerana sebab lain sepertimana yang cuba digambarkan portal berita pembangkang. Sedia maklum, media pembangkang ketika ini sedang menjalankan kempen 'antiNajib' secara 'all out'.

Apa saja bahan akan dimanipulasikan sebaik mungkin bagi menggambarkan suasana 'anti Najib'. Tambahan pula ketika ini bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad sudah berada dalam kumpulan pembangkang. Mungkin pakar propaganda pembangkang merasakan Syed Hamid boleh diletakkan sebagai pemimpin yang cenderung menyokong Mahathir. (Mahathir yang berusia lebih 90 tahun bila nak bersara?)

Penulis secara peribadi mengenali Syed Hamid secara dekat. Selain seorang yang bekerja kuat, beliau juga jenis yang berprinsip. Manakala kesetiaannya kepada pemimpin semasa adalah sesuatu yang sukar digoncang.



Rujukan :
https://www.malaysiakini.com/news/397250

https://www.malaysiakini.com/news/397222

http://www.agendadaily.com/Muka-Hadapan/syed-hamid-albar-bersara-setelah-pegang-pengerusi-spad-selama-tiga-penggal%E2%80%A6.html

https://www.spad.gov.my/ms/pusat-media/kenyataan-media/2017/spad-merakamkan-penghargaan-kepada-ybhg-tan-sri-dato-seri-dr-syed

http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1397236

http://suaralensa.blogspot.my/2017/06/perjalanan-karier-syed-hamid-albar.html

No comments:

Post a Comment