AdSense

Tuesday, November 28, 2017

Terkini mengenai perkhidmatan tren KTM lepas tergelincir


Sepatutnya hari ini (28 Nov 2017) perkhidmatan tren KTM Berhad mula beroperasi tapi dianjakkan kepada 3 Disember 2017.


Ini adalah kerana kerja-kerja baikpulih masih belum siap akibat cuaca yang tidak baik.

Iyalah, sejak kebelakangan ini cuaca ini ibunegara sering hujan dan ianya mengganggu kelancaran jadual kerja baik pulih yang telah diatur sebelum ini.

Tambah pihak KTMB, kedudukan beberapa gerabak tergelincir yang terletak di dalam terowong turut menyukarkan kerja-kerja mengalihkan gerabak.


Sedia maklum, pada 23 Nov 2017 lalu, 12 gerabak tren Kargo tergelincir di antara Stesen Bank Negara - Stesen Kuala Lumpur (KM386.00) kira-kira jam 2.58 pagi.

Justeru itu kedua-dua landasan keretapi terpaksa ditutup diantara laluan Stesen Kepong - Stesen KL Sentral bagi kerja-kerja baikpulih.

Sementara pada hari sama, pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah mengeluarkan kenyataan mengarahkan KTMB untuk menggantung perkhidmatan kargo di sepanjang laluan Rawang-Salak Selatan sehingga siasatan dimuktamadkan.

Di samping itu, SPAD telah menegaskan kepada KTMB untuk mengkaji semula dan memperbaiki prosedur pengendalian gerabaknya bagi memastikan keselamatan terjamin.


Suruhanjaya juga telah mengarahkan KTMB bagi mempercepatkan projek Naik Taraf Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) yang bertujuan untuk menaik taraf rangkaian rel sepanjang 42km, terutamanya di landasan sejauh 7km di antara Simpang Batu dan Stesen Kuala Lumpur kerana indeks kualiti landasan (track quality index) dalam sektor ini perlu dipertingkatkan dengan kadar yang segera.

KTMB juga diminta untuk membayar balik tambang kepada penumpang ETS yang mengalami gangguan perjalanan serta ingin membatalkan perjalanan mereka. Ini bagi memastikan penumpang tidak menanggung sebarang kos tambahan bagi perkhidmatan MRT dan bas, di samping itu mereka juga boleh mengubah tarikh perjalanan.


Penumpang yang terjejas oleh gangguan perkhidmatan ini boleh menggunakan perkhidmatan rel alternatif seperti MRT di Sungai Buloh, Kajang, Muzium Negara, Pasar Seni dan LRT dari Subang Jaya. KTMB juga akan memastikan penumpang Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) akan dihubungkan ke Stesen Sungai Buloh menggunakan MRT sebelum beralih ke ETS untuk meneruskan perjalanan masing-masing.

Di samping itu, SPAD telah mengarahkan KTMB untuk menyediakan perkhidmatan bas untuk perjalanan Sentul-KL Sentral-Sentul, sebagai satu alternatif perjalanan bagi penumpang yang terjejas. Bagi mendapatkan maklumat lanjut penumpang boleh menghubungi KTMB pada 03 22671200.


Setelah penemuan siasatan dimuktamadkan, Suruhanjaya akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya, seperti mengambil tindakan tegas yang termasuk penalti kewangan sekiranya KTMB didapati cuai.

Pihak KTMB dalam status di Facebooknya pada 26 Nov 2017 memberitahu status operasi perkhidmatan tren KTM Berhad dan aturan pengangkutan alternatif yang disediakan masih kekal sama seperti dibawah;

Perkhidmatan KTM Komuter :

LALUAN TANJUNG MALIM - PELABUHAN KLANG

Perkhidmatan komuter hanya beroperasi di antara laluan Stesen Tanjung Malim - Stesen Kepong dan Stesen KL Sentral - Stesen Pelabuhan Klang.

Tiada perkhidmatan tren komuter di antara laluan Stesen Kepong - Stesen KL Sentral.

Bas disediakan oleh KTM Berhad bagi laluan Stesen Segambut ke Stesen KL Sentral dan sebaliknya, bermula jam 6.00 pagi hingga 12.00 malam, dengan kekerapan setiap 30 hingga 45 minit, bergantung kepada keadaan kelancaran atau kesesakan lalu lintas jalan raya.

LALUAN BATU CAVES - SEREMBAN - TAMPIN/PULAU SEBANG

Perkhidmatan komuter hanya beroperasi di antara laluan Stesen Batu Caves - Stesen Sentul dan Stesen KL Sentral - Seremban - Tampin/Pulau Sebang.

Bas disediakan oleh KTM Berhad bagi laluan Stesen Sentul ke Stesen KL Sentral dan sebaliknya, bermula jam 6.00 pagi hingga 12.00 malam, dengan kekerapan setiap 20 hingga 30 minit, bergantung kepada keadaan kelancaran atau kesesakan lalu lintas jalan raya.

Jangkaan kelewatan perkhidmatan tren KTM Komuter bagi semua laluan adalah di antara 30 hingga 45 minit.

Para penumpang juga dinasihatkan untuk merancang perjalanan dengan baik dan digalakkan untuk menggunakan alternatif pengangkutan awam sedia ada di sektor Lembah Klang seperti perkhidmatan tren MRT, LRT dan bas GO KL untuk ke destinasi dituju.

Perkhidmatan ETS :

LALUAN SEKTOR UTARA
(PADANG BESAR/BUTTERWORTH - IPOH - KL SENTRAL - GEMAS)

Perkhidmatan tren ETS dari Sektor Utara akan beroperasi hingga di Stesen Sungai Buloh.

Para penumpang akan dibawa menggunakan perkhidmatan tren MRT (pergerakan penumpang akan diaturkan juga diiringi oleh kakitangan KTM Berhad, dan para penumpang tidak perlu membayar untuk tambang perkhidmatan MRT) dari Stesen Sungai Buloh ke Stesen KL Sentral dan meneruskan perjalanan ke Stesen Gemas menggunakan perkhidmatan tren ETS.

LALUAN SEKTOR SELATAN
(GEMAS - KL SENTRAL - IPOH - BUTTERWORTH/PADANG BESAR)

Perkhidmatan tren ETS dari Sektor Selatan akan beroperasi hingga Stesen KL Sentral.

Para penumpang akan dibawa menggunakan perkhidmatan tren MRT (pergerakan penumpang akan diaturkan juga diiringi oleh kakitangan KTM Berhad, dan para penumpang tidak perlu membayar untuk tambang perkhidmatan MRT) dari Stesen KL Sentral ke Stesen Sungai Buloh dan meneruskan perjalanan ke Stesen Padang Besar, Stesen Butterworth dan Stesen Ipoh menggunakan perkhidmatan tren ETS.

Pengangkutan van turut disediakan khas bagi para penumpang Warga Emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk keselesaan dan keselamatan mereka, bagi perjalanan Stesen Sungai Buloh ke Stesen KL Sentral dan sebaliknya.

Jangkaan kelewatan perkhidmatan tren ETS bagi semua laluan adalah di antara 30 hingga 60 minit.

Para penumpang tren ETS yang ingin membatalkan perjalanan layak untuk mendapatkan pemulangan tambang penuh atau membuat pertukaran tarikh perjalanan bergantung kepada kekosongan tiket.

Kerja-kerja baikpulih sedang giat dijalankan dan sebarang perkembangan terkini, akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. KTM Berhad memohon maaf atas kesulitan yang berlaku.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila layari laman twitter rasmi KTM Berhad di @ktm_berhad dan hubungi Pusat Panggilan KTM Berhad di 03-2267 1200.

No comments:

Post a Comment