AdSense

Wednesday, December 27, 2017

Atasi kesesakan trafik : SPAD arah bas jangan 'lepak' di Medan Pasar


Mana yang kurang, kita tambah baik. Itulah prinsip yang dapat dilihat diamalkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sejak ia ditubuhkan.

Semakin hari kita dapat lihat sistem dan apa saja yang berkaitan pengangkutan awam berubah wajah bertambah baik.


Terbaharu, pada 22 Disember 2017, SPAD dalam satu kenyataan mengatakan bahawa Hentian Akhir Bandar (HAB) Medan Pasar akan dikategorikan semula sebagai sebuah hentian bas.

Untuk makluman, bas tidak dibenarkan lagi untuk menunggu atau diparkir di lokasi tersebut. Bas hanya dibenarkan untuk mengambil dan menurunkan penumpang sahaja.

Perubahan ini adalah bagi melancarkan aliran trafik di kawasan Medan Pasar (berdekatan HSBC), yang mengalami masalah kesesakan lalu lintas ketika waktu puncak. Bas yang berhenti di kawasan itu juga didapati telah menyumbang kepada kesesakan tersebut. HAB Lebuh Pudu juga menyediakan kemudahan dan tempat berteduh yang lebih baik bagi keselesaan pengguna.

Peralihan ini akan melibatkan 50 bas yang dikendalikan oleh syarikat Selangor Omnibus Co Bhd dan Setara Jaya Sdn Bhd. Perkhidmatan yang terbabit bagi Selangor Omnibus adalah bagi laluan 100, 103, 104, 107, 120, 121 & 122, manakala bagi Setara Jaya adalah laluan 151 & 152. Bas -bas tersebut akan menamatkan perjalanan di HAB Lebuh Pudu di hadapan Emporium Mydin Sinar Kota, yang terletak 350 meter daripada HAB Medan Pasar.
 
Maklumat bagi penumpang telah dipamerkan di dalam bas-bas terlibat serta di HAB Medan Pasar dan Lebuh Pudu sejak minggu lepas. Bagi mempermudahkan penumpang, kakitangan daripada Selangor Omnibus, Setara Jaya, dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan ditugaskan bermula hari Sabtu 23 Disember 2017 ini, di hentian Medan Pasar bagi memantau proses peralihan.
 
Dengan perpindahan ini, akan terdapat tiga HAB di dalam Pusat Bandar Kuala Lumpur, iaitu: HAB Munshi Abdullah bagi koridor Ampang, HAB Pasar Seni bagi koridor Lebuhraya Persekutuan & Jalan Klang Lama, dan HAB Lebuh Pudu, yang mana akan merangkumi bas-bas yang menjalankan perkhidmatan bagi koridor laluan Cheras, Sungai Besi, Jalan Ipoh dan Jalan Pahang. HAB Lebuh Pudu juga digunakan oleh bas-bas Nadi Putra, Seri Indah dan RapidKL.
 
Untuk mendapatkan maklumat lanjut, para pengguna boleh menghubungi hotline SPAD di 1-800-88-7723 (SPAD) atau melalui facebook.com/SPAD.my atau Twitter di @SPADchannel atau melalui laman sesawang SPAD www.spad.gov.my. Selain daripada itu, pengguna boleh menghubungi Selangor Omnibus di talian 03-6258 1579 atau Setara Jaya di talian 034021 7692.

No comments:

Post a Comment